Ahlan Wasahlan Wamarhaban

Syed Abdul Kadir Aljoofre,

Kuala Lumpur - Selangor - Singapura - Madinah Al-Munawwarah - Perlis - Kedah - Tanta - Kaherah.

Banyakkanlah berselawat ke atas kekasih kita Muhammad Sallallahu 'Alaihi Waalihi Wasallam..


Sila jaga tatatertib Syariah dalam tagboard di bawah. Ulasan bagi sesuatu topik dialu-alukan dikemukakan di bahagian ulasan topik tersebut, dan bukan di bahagian tagboard. Jazakumullah
   

<< July 2014 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01 02 03 04 05
06 07 08 09 10 11 12
13 14 15 16 17 18 19
20 21 22 23 24 25 26
27 28 29 30 31

Sila klik di tarikh-tarikh di atas untuk melihat entry untuk hari tersebut.. Sila klik juga di bulan-bulan sebelum ini. Digalakkan juga mula membaca dari posting awal (1 Februari 2005) mengikut turutan. Di bawah ini pula sebahagian entry yang menjadi "hits" disusun mengikut tarikh


  • Catitan Pertama

  • Kasih Si Anak Kecil

  • Doa Akhir dan Awal Tahun - Haramkah Membacanya? (Bhgn. 1/2)

  • Meramal Hari Qiamat?

  • Tasua'

  • Cikgu Oh Cikgu!

  • Tuntutan Mencari Ilmu

  • Sabar (Bhgn. 1/2)

  • Sembelih Vs Zalim

  • Force Of Nature.. Konsert Amal

  • Kat sana, kat sini..

  • Siti Oh Siti!

  • Sambutan Maulid Nabi (Bhgn. 1/20)

  • Salam Dari Kota Singa

  • Saman Sambut Maulid

  • Qataluki Ya Iraq!

  • Maulid Melayu

  • Selawat, Bid'ah vs Pendidikan

  • Menghina Islam

  • As-Sayyid Muhammad Al-Maliki (Bhgn. 1/4)

  • Petir

  • Persoalan Membasuh atau Menyapu Kaki Ketika Wudhu' (1/2)

  • Nasihat Tak Wajib Dilaksanakan?

  • Tidak Ikhtilat Lebih Cemerlang

  • Sheikh Abdul Fattah Abu Ghuddah

  • Istiqamah

  • Korban Bom

  • Dakwah Umum Dan Khusus (Bhgn. 1/2)

  • Aminah Wadud dan Bid'ah Hasanah - Satu Manipulasi Kotor

  • Judi - Pak Lebai dan Datuk Datin

  • Astora Dan Pembaca

  • Ekstrimiskah Mereka?

  • AP Hadhari

  • Permulaan Hidayah

  • Da'ie dan Da'iah

  • Niat Menuntut Ilmu

  • Eulogy (1)

  • Eulogy (2)

  • Surat Imam Abdullah Alhaddad (1/2)

  • Nisfu Sya'ban Datang Lagi

  • Waktu-waktu Penting

  • Puasa dan Raya - Malaysia Vs Mesir

  • Maulid Condi Rice di Arab Saudi

  • Sucikah Kita?

  • Wahhabi Oh Wahhabi

  • Pengenalan Ringkas Mazhab Syafie (1/5)

  • Pening juga tak mau bermazhab ya?

  • Doa Akhir dan Awal Tahun

  • Solat Jumaat - Sedikit Koreksi

  • Cemburu

  • Tiga Golongan

  • Futur

  • Bulan Istighfar

  • Al-Habib Abdullah Assyatri

  • Pemberian Tidak Setara Antara Anak-anak


    Sesungguhnya Ulama' itu adalah waris para Nabi

    Pautan ke para da'ie dan ulamak:

  • Habib Omar Benhafidz

  • Habib Ali Aljufri

  • Dr Mohd Saied Ramadhan Albouti

  • Dr Wahbah Azzuhayli

  • As-Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah (Rahimahullah)


    Pro-Tajdid Segar


    Pengunjung Sejak 1 Februari 2005:

    Isi Buku Tamu 

     

    YM Aljoofre




    Klik di Iklan di bawah (Anda tidak dikenakan apa-apa bayaran)


    Klik butang "Contact Me" di bawah untuk menghantar email kepada ana

  • If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



    rss feed




    Thursday, June 26, 2008
    Blog Baru

    Bismillah...

    Setelah 3 tahun setengah saya berblog di blogdrive, kini saya akan berpindah ke hosting iLuvIslam.com. Blog yang baru ini masih dalam proses pembinaan sebenarnya, namun insyaAllah saya akan terus berblog di sana. Silalah berkunjung ke:

    Aljoofre Meredah Usia (iLuvIslam.com)

    Segala komen dan bantuan juga amatlah dialu-alukan.

    Posted at 10:44 am by aljoofre
    3 Ulasan  

    Friday, March 07, 2008
    Munajat Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

    "WAHAI Tuhan Kami, berilah kami perasaan takut kepada-Mu yang dapat menghalang kami dari kemaksiatan, dan berilah kami ketaatan kepada-Mu yang menyampaikan kami ke syurga-Mu, dan berilah dan berilah keyakinan yang memudahkan kami menghadapi bencana di dunia."

    "Wahai tuhan kami berilah kami kenikmatan pendengaran, penglihatan dan kekuatan tubuh badan selama hidup kami dan jadikanlah dia mewarisi kami dan berilah pembalasan kepada orang yang menzalimi kami.

    "Dan tolonglah kami terhadap orang yang memusuhi kami. Dan janganlah Engkau jadikan bencana bagi kami dalam ugama kami dan janganlah jadikan keduniaan sebesar-besar cita-citanya kami dan batasan ilmu kami.

    "Dan janganlah Engkau biarkan orang yang tidak menaruh kasihan balas terhadap kami, dapat menguasai ke atas kami."

    "Wahai Tuhan kami, kami pohon perlindungan dengan nur kesucian Engkau dan berkat kebersihan dan keagungan sifat Jalal Engkau, dari setiap yang datang waktu malam kecuali yang datang dengan baik

    "Wahai Tuhan kami, Engkaulah penolong kami, maka kepada Engkau kami mohon pertolongan. Wahai Tuhan kami, Engkaulah tempat kami menyelamatkan diri, maka kepada Engkaulah kami pohon selamat. Wahai Tuhan, bagilah kelemahan dan kehinaan yang mana segala tengkuk pembesar dunia."

    "Dan tunduk kepadanya segala urusan dan kebesaran raja-raja Firaun, selamatkan kami dari penghinaan dan hukuman siksa-Mu, ketika malam atau siang, ketika kami tidur atau berada di suatu tempat.

    "Tiada tuhan bagi kami melainkan Engkau demi kebesaran wajah Engkau dan kemuliaan kesucian Engkau, hindarkanlah kami dari segala kejahatan hamba-hamba Engkau, berilah kemudahan kepada kami dengan limpah kurnia dari Engkau wahai Tuhan yang Maha Pemurah."

    "Wahai Tuhan sama ada Engkau lembutkan hati-hati mereka untuk kami sebagaimana kamu lembutkan besi untuk Nabi Daud, dan kamu menundukkan mereka seperti seperti Kamu tundukkan bukit bukau, gunung ganang untuk Nabi Sulaiman atau pun Kamu lipat balik rancangan jahat mereka supaya berpatah balik ke atas mereka sendiri ,

    "dan Kamu hancur leburkan pakatan mereka dan kacau bilaukan kumpulan mereka dan goncangkan pendirian mereka dan Ya Allah turunkan bendera mereka rapat ke bumi,

    "Wahai Tuhan yang tetap hidup yang mentadbir urusan makhluknya, Wahai Tuhan yang mempunyai keagungan dan kemuliaan, sesungguhnya Engkau berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu."

    "Ya Allah Tuhan kami, limpahkanlah rahmat ke atas junjungna kami Nabi Muhammad S.A.W yang dengannya dapat mengubati hati dan menjadikan penawar, menyihatkan badan yang menyembuhkannya, menjadi cahaya bagi pandangan mata dan menyinarkannnya dan limpahkanlah rahmat dan kesejahteraan kepada keluarga dan para sahabat baginda sekalian."

    Gambar munajat perdana - Lihatlah air mata seorang pejuang.

    p/s: Sama-samalah berusaha dan berdoa moga para pejuang Islam diberikan kekuatan, keberkatan dan kemenangan, di Malaysia, dan di seluruh muka bumi ini.
     Amiin

    Posted at 03:40 am by aljoofre
    3 Ulasan  

    Saturday, March 01, 2008
    Syaikh Mustafa Alkhin (Bhgn. 2)

    Assyaikh Mustafa meninggalkan himpunan khazanah tulisan yang amat berharga buat Ummat Islam. Antaranya:

    1) Atsaru-l Ikhtilf Fi-l Qaw'idi-l Usliyyah Fi-khtilfi-l Fuqah'
    2) 'Abdullah bin 'Abbs : Habrul Ummah wa Turjumn Alqurn
    3) Dirasah Trkhiah lil Fiqh wa Uslihi walitijjht allati zoharat fhima
    4) Alhasan bin Yasr Albasri : Alhkimu-l Wa'idz Waz-Zhidu-l 'Âlim
    5) Al-adillatu-s Syar'iyyah, Wamauqifu-l Fuqah' min-alihtijj bih
    6) Abhsun haula Usli-l Feqhi-l Islmi (Tarikhuhu Watathowwuruh)
    7) Alkfiyu-l Wfi fi Usuli-l Feqhi-l Islmi

    Tulisan Bersama:

    1) Nuzhatu-l Muttaqn Syarhu-r Riydhis- Slihn min Kalmi Sayyidil Mursaln (bersama Dr. Mustafa Al-Bugha, Dr. Muhyiddin Mistu, Ustaz Ali Assyarbiji dan Ustaz Muhammad Amin Lutfi.

    2) Alfeqhu-l Manhji 'ala Mazhabi-l Imami-s Syfi'i (bersama Dr. Mustafa Al-Bugha dan Ustaz Ali Assyarbiji)

    Sebuah Kisah

    Assyaikh Mustafa menyebutkan, di dalam kitab Atsaru-l Ikhtilf Fi-l Qaw'idi-l Usliyyah Fi-khtilfi-l Fuqah', yang juga merupakan disertasi PhDnya, kisah kefahaman awalnya yang sering tertanya-tanya, mengapa terdapat pelbagai mazhab Feqh sedangkan rujukan utama kita adalah Al-Quran dan As-Sunnah. Mengapa tidak boleh disatukan dan diambil satu pandangan sahaja yang didapati paling hampir kepada keduanya.

    Kedatangannya ke Al-Azhar membawa rahmat buat beliau, apabila persoalan tersebut terjawab dengan bertambahnya ilmu berkaitan ikhtilaf Fuqaha' dan sebab-sebabnya. Minatnya yang mendalam dalam perkara tersebut dan kehandalannya dalam Usul Feqh menyebabkan beliau membuat kajian dalam kesan khilaf di dalam kaedah-kaedah Usul Feqh dalam menyebabkan ikhtilaf Fuqaha'
     dengan seliaan Prof. Dr. Mustafa Abdul Khaliq.

    Kajian ilmiah PhDnya ini sangat bernilai dan bagi ana (yang mempelajari juga kitab ini di dalam pengajian peringkat Sarjana empat tahun lalu), ia merupakan sebuah masterpiece. Ia menjelaskan secara terperinci dan menunjukkan bahawa para ulamak bukan berikhtilaf kerana kejahilan atau hawa nafsu mereka, tetapi biasanya mereka berikhtilaf kerana metodologi asas yang sedikit berbeza menatijahkan beberapa perselisihan hukum.

    Perselisihan mereka bukan kerana tidak mengetahui satu dua hadis yang kita tahu, akan tetapi jauh lagi rumit dan memerlukan pengajian bermazhab secara bersistematik untuk menggarap metodologi para imam Mujtahidin tersebut. Oleh kerana itulah, manusia jahil seperti kita ini perlu bermazhab dan mengelakkan diri tertipu seolah-olah kita mampu dengan mudah mencari hukum yang lebih tepat dan hampir kepada Al-Quran dan Sunnah.

    Kewafatan

    Bintang Siria ini dipanggil menghadap Ilahi pada 23 Muharam 1429 (1 Februari 2008), Jumaat (ketika Imam sedang berkhutbah), di Masjid Alhasan, Damsyiq, Siria. Kewafatannya di tempat yang mulia, pada waktu yang mulia, hari yang mulia dan bulan yang mulia menggambarkan kita kedudukannya yang tinggi di sisi Allah. Moga Allah memuliakannya dan menempatkannya bersama golongan yang dikasihi dan hampir dengan-Nya. Moga Allah memberikan kita manfaat dengannya, barakah, asrar, cahaya, nafahatnya di dunia dan akhirat. Amiin.

    p/s: 1) Menyebut perihal keburukan orang lain yang berbangga dengan keburukan yang dilakukan, didedahkan kepada awam, atau juga mendedahkan keburukan supaya terhindar bahayanya kepada yang diberitahu dibenarkan dalam syara'. Hukum ini bukan tertakluk pada musim pilihanraya ini sahaja tau.

    2) Ana akan pulang ke Mesir dalam masa terdekat ini. Doakan ya.

    3) Undilah dengan bijak. Undi adalah amanah. Setiap undian bakal ditanya oleh Allah. Pilihlah mereka yang hendak menegakkan hukum Allah di muka bumi. Moga perjuangan Islam dan Muslimin di Malaysia dibantu Allah.

    Posted at 09:42 am by aljoofre
    3 Ulasan  

    Tuesday, February 05, 2008
    Syaikh Mustafa Alkhin

    Assyaikh Mustafa bin Saied bin Mahmud Alkhin (Alkhan), Assyafi'i, Almidani, Addimasyqi dibesarkan oleh ibu bapanya di Damsyiq, Siria, di dalam sebuah keluarga yang tenang lagi penuh kemuliaan. Pendidikan rasminya yang pertama adalah di Sekolah Rendah Aljam'iyyatul Gharra' dan kemudiannya di Sekolah Anmuzaj Almidan.

    Pada musim panas, 1931 M, Syaikh Muhammad Zarzur, seorang penulis khat yang masyhur, yang juga merupakan guru kepada Syaikh Mustafa, melihat kecerdikan dan kebolehan yang ada pada Syaikh Mustafa. Beliau meminta izin daripada bapa Syaikh Mustafa untuk membawa Syaikh Mustafa ke pengajian Syaikh Hasan Habannakah di Masjid Manjak.

    Syaikh Hasan Habbanakah telah mengasaskan sebuah sekolah yang mana, pelajar-pelajar khusus mempelajari ilmu agama pada sesi pagi, dan mereka yang sudah berusia ataupun bekerja menghadiri kelas pada sesi petang.

    Syaikh Mustafa asalnya mengikuti pengajian sesi petang. Namun begitu gurunya Syaikh Hasan Khattab berasa kagum dengan kebolehannya, hafalan dan kepandaiannya, maka beliau pun memberitahukan perkara tersebut kepada Syaikh Hasan.

    Syaikh Mustafa pun mula mencintai ilmu pengetahuan, dan beliau pun diserapkan kepada sesi pengajian pagi. Satu kegembiraan yang amat bagi Keluarga Alkhin, kerana beliau menjadi ahli keluarga yang pertama yang terbit daripada keluarga ini. Dipakaikanlah Syaikh Mustafa serban bagi menggantikan tarbusnya, dan bapanya pun mengisytiharkan bahawa beliau akan memelihara dan bertanggungjawab terus ke atas Syaikh Mustafa.

    Perjalanan Ilmu

    Syaikh Mustafa membesarlah sebagai seorang penuntut yang amat rajin di Masjid Manjak. Sebelah pagi beliau sebagai seorang penuntut, di sebelah petang pula sebagai tenaga pengajar. Sesi petang itu pula menjadi cawangan kepada Ma'had Attaujih Al-Islami. Maka Syaikh Mustafa menjadi tenaga pengajar di sekolah tersebut.

    Aktiviti sebagai penuntut ilmu, dan dalam masa yang sama sebagai seorang tenaga pengajar memberi kesan yang mendalam kepada peribadi keilmuan Syaikh Mustafa. Syaikh Hasan Habannakah pula sebagai seorang bapa murabbinya, memberikan petunjuk dan kesan yang besar pada tanggungjawabnya dalam keduanya.

    Syaikh Hasan juga sering kali menasihatkan para penuntutnya untuk menziarahi para ulamak dan duduk di majlis-majlis pengajian mereka. Syaikh Mustafa amat mengambil berat perkara ini, dan acap kali berusaha menemui para ulamak ini, malah tiga kali bertemu dengan Syaikh Abul Hasan Ali Annadawi.

    Syaikh Mustafa mengajar pelbagai bidang dalam ilmu-ilmu Islam, namun akhirnya beliau menumpukan perhatian dan jelas kehebatannya di dalam Usul Feqh dan ilmu Bahasa Arab.

    Pada tahun 1949, beliau tiba di Kaherah dengan harapan dapat dinisbahkan dengan Al-Azhar, selain memperolehi ijazah yang membolehkan beliau mengajar di sekolah-sekolah kerajaan di Siria. Beliau pun ditemuduga, dan diterima masuk ke tahun ketiga, Kuliah Syariah. Selepas dua tahun, beliau pun berjaya mendapatkan ijazah dengan keputusan Mumtaz (Kepujian Kelas Pertama / Cemerlang).

    Di Al-Azhar, beliau banyak mengambil faedah daripada Dr. Isa Mannun, Dr. Abdullah Musa, Dr Mustafa Abdul Khaliq dan adiknya Dr Abdul Ghani Abdul Khaliq. Beliau juga dapat mempelajari tsaqafah Islam dan manhaj yang jelas lagi tersusun.

    Sejurus pulang ke Siria, belia mengajar Pendidikan Islam di sekolah-sekolah menengah di Halab dan Damsyiq, selain sumbangan besarnya di dalam menusun silibus pengajian, menulis buku-buku teks dan menganggitai lajnah peperiksaan. Beliau juga dalam masa yang sama menjadi pensyarah di Kuliah Syariah, Universiti Damsyiq (1955-1962) dan dipinjamkan kepada Kuliah Syariah dan Bahasa Arab, Universiti Islam Al-Imam Muhammad bin Sa'ud, Riyadh (1962-1966).

    Apabila Al-Azhar mengeluarkan kenyataan untuk menerima graduan Kuliah Syariah yang berpengalaman mengajar di Universiti selama lebih 5 tahun untuk terus mengemukakan disertasi Ijazah Kedoktoran (PhD), Syaikh Mustafa pun bersegera mendaftarkan disertasi bertajuk Atsarul ikhtilaf fil Qawa'id Al-usuliyyah fi Ikhtilafil Fuqaha' (Kesan Ikhtilaf pada Qaedah-qaedah Usul Feqh pada Iktilaf Fuqaha'), dengan seliaan Prof. Dr. Mustafa Abdul Khaliq. Beliau memperolehi Ijazah Kedoktoran pada tahun 1971 dengan anugerah Assyarfu Al-ula (Cemerlang yang tertinggi).

    Beliau seterusnya dilantik sebagai pensyarah dan Ketua Jabatan Aqidah-aqidah dan Agama-agama, Kuliah Syariah, serta pensyarah di Kuliah Pendidikan, Universiti Damsyiq, dan terus di Universiti tersebut sehinggalah tahun 1983. Beliau juga menulis buku-buku teks universiti maka terterbitlah tiga buah buku teks yang amat penting dan masih diajar sehingga ke hari ini di Kuliah Syariah, iaitu kitab Attafsir Al'Am, Feqh Al-Mu'amalat dan Mabadi' Al-aqidah Al-Islamiah.

    Setelah bersara, beliau menjadi pensyarah pula Riyadh sehingga tahun 1992. Kerinduannya dan kecintaannya kepada bumi Damsyiq yang amat, beliau pulang dan menjadikan rumahnya sebagai tempat tumpuan para penuntut ilmu.

    Pada tahun 1993 beliau bersetuju untuk mengajar di bahagian Pasca-Ijazah Universiti Ummu Darman, di Damsyiq dan Ketua Jabatan Pengkhususan Kuliah Syariah di Ma'hadul Fath Al-Islami.

    Beliau juga memiliki sebuah bilik khas di Masjid Daqqaq. Bilik ini menyimpan sejarah yang banyak terutama dari sudut aktiviti-aktiviti ilmiah dan mempunyai sebuah perputakaan yang memiliki banyak kitab-kitab utama.

    (Bersambung, InsyaAllah)

    Posted at 12:35 pm by aljoofre
    2 Ulasan  

    Monday, February 04, 2008
    Wafatntya Bintang Usul Feqh Syam

    Asshaikh Almurabbi Al-Usuli Doktor Mustafa Sa'ied Alkhin telah meninggal dunia di Masjid Sayidina Alhasan, Damsyiq, Siria, ketika Khatib sedang berkhutbah, Jumaat lalu (1 Februari) dalam usia 89 tahun.

    Seorang Alim Ummah meninggal dunia di dalam Masjid ketika khutbah Jumaat. Kebetulan pula dua entry ana berturut-turut berkenaan dua orang alim yang berani dan tsabat dalam perjuangan mereka, meninggalkan kita.

    Kali ini, bintang usul Feqh Syam yang digelar Najmussuri wa usuli Syam, antara anak murid terhebat kepada Syaikh Hasan Habannakah, memiliki banyak tulisan yang cukup bermanfaat buat kita semua, kembali ke rahmatullah.

    InsyaAllah ana akan menulis biodata ringkas hidup beliau, berserta sebuah kisah menarik daripada kitab Atsarul Ikhtilaf (risalah PhDnya).

    Sekadar satu dialog yang berlaku selepas beliau meninggal di Masjid tersebut:

    Syaikh Kuraim Rjih : Orang alim ini (Dr Alkhin), tidak tercemar dengan pemerintah mahupun dengan orang yang kaya.

    Abu Idris : Oleh kerana itulah Allah mengambilnya di rumah-Nya.

    Allaah.. Moga Allah memberikan kita peluang untuk bersama kekasih-kekasih kita ini lagi nanti, moga Allah memberikan kita manfaat dengan ilmu, barakah, rahsia-rahsia, nafahat mereka ini, untuk kehidupan kita di dunia dan akhirat.

    Alfaatihah...

    Posted at 11:07 am by aljoofre
    2 Ulasan  

    Wednesday, January 30, 2008
    Perginya seorang Tuan Guru



    Innalillahi Wa inna ilaihi raji'un..

    Sebak sungguh pagi ni bila baca berita. Moga Allah tempatkan beliau bersama-sama golongan awliya', syuhada' dan solihin, dan para A'immah Arrasyidin, bersama junjungan mulia Sayyidil Mursalin, Sallallahu 'Alaihi Wasallam.

    Ingatanku buatnya tak pernah pudar. Seorang Wali Allah bagiku. Seorang yang mewakafkan seluruh hidupnya untuk dakwah Islam. Tuan Guru Dato' Haji Ishak Baharom, mempunyai watak yg serius tetapi selalu tersenyum. Pakaiannya ketika mengajar dari muda lagi ialah jubahnya. Istiqamahnya menegakkan kebenaran sukar dicari ganti pada hari ini. Pemergiannya benar-benar satu kehilangan buat Ummat Islam, khususnya di Malaysia.

    Berita di Harakahdaily

    KUALA LUMPUR, 30 Jan (Hrkh) - Bekas Mufti Selangor, Dato' Ishak Baharom meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh tengah hari ini selepas tidak sedarkan diri dan koma akibat masalah tekanan darah dan dimasukkan ke hospital pagi semalam.

    Menurut seorang anggota keluarganya, jenazah Allahyarham kini dibawa ke rumahnya di Taman Sri Andalas, Klang.

    Katanya, jenazah berkemungkinan akan dibawa ke Masjid Lipat Kajang, Taman Sri Andalas untuk disolatkan jam 9.30 pagi esok.

    Menurut beliau, Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, selepas itu.

     
    Biodata Ringkas Tuan Guru Haji Ishak Baharom

    -------------------------------------------------------------------------------

    Updated: Beliau telah dikebumikan di Makam Diraja Selangor. Alhamdulillah. Namun berita-berita di akhbar media arus perdana hanya menyiarkan sedikit sahaja beritanya. Berita seorang artis dan penulis skrip meninggal dunia berpuluh kali ganda lebih dibesarkan. Sila ke laman-laman berikut untuk berita-berita yang ada. Terima kasih juga buat tuan-tuan blog yang menganjurkan bacaan Alquran (30 Juzuk) untuk Almarhum.

    Pegang Erat Amanah, Pesan Gurunya (Artikel yang amat baik)

    Tegas Menegakkan Hukum

    Berani Terima Tindakan Demi Kebenaran

    Pemecatan Jadi Pengajaran Umat Islam

    Tokoh Yang Berilmu, Berani dan Tawadhuk

    Selamat Bersemadi Di Makam Diraja

    Hilang Sebutir Lagi Bintang

    Diingati Istana Selepas Pemergiannya / Mufti Yang Meneruskan Jihad Bersama PAS

    Alfatihah...

    Posted at 10:25 am by aljoofre
    3 Ulasan  

    Friday, January 18, 2008
    'Asyura di Edinburgh

    Masa berlalu begitu pantas. Usia diredah tak menunggu siapa. Pejam celik, sampai lagi ke hari Asyura. Tahun lalu, hari Asyura ana bermusafir. Bertolak dari Singapura, singgah di Doha, Qatar (Entry lalu : Doha), tiba di Kaherah juga pada hari Asyura.

    Asyura tahun ini, Allah campakkan pula di benua satu lagi. Kali ini di Edinburgh, Scotland (Orang Arab sebut eskotlanda). Maha Suci Allah yang menggerakkan hamba-Nya tanpa kekuatan dan keupayaan dari hamba itu sendiri. Kepada-Nya jualah kita bakal dikembalikan.

    Telah seminggu di sini, ana saksikan kecantikan alam ciptaan Allah. Edinburgh ini memang terkenal indahnya. Terlihat juga istana-istana lama yang tersergam indah, terfikir pula, penghuni-penghuninya telah lama disimpan di dalam perut bumi.

    Apa yang menariknya, sejak tiba di Imigresen Scotland sehinggala ke hari ini, ana menyaksikan akhlak Islam walau tidak terjumpa Muslim. Sayang bukan, bila akhlak Islam mula sirna dari masyarakat Islam itu sendiri. Betapa kontra dunia Kaherah dan dunia Barat yang satu ini. Tak perlu ana membuat perbandingan satu persatu dari sudut akhlak.

    Tapi jangan disangka ana memuja Barat ya. Bumi Kaherah yang barakah tetap ana sanjung. Kerinduan pada bumi seribu menara itu (di sini susah nak dapatkan Masjid), membuak-buak. Ribuan masyaikh di sana hanya menanti kita menadah ilmu yang bercucuran. Namun bak kata Imam Ghazali menukilkan kalam Nabi Isa Alaihissalam, orang yang cerdik itu ialah orang yang dapat mengambil pengajaran daripada apa jua yang berlaku di sekelilingnya. Maka apa yang mereka amalkan sesuai dengan ajaran Islam itu kita ambil semula. Benarlah sabda Junjungan Mulia: Sesungguhnya hikmah itu barang kehilangan orang yang beriman, di mana saja dia menjumpainya, maka dialah yang lebih berhak ke atasnya.

    Zikir Asyura

    Di bawah ini Zikir hari Asyura seperti mana yang diajarkan oleh para ulamak agung silam. Moga ada keberkatan buat kita semua.



    Jangan pula lupa amalan-amalan yang sepatutnya pada hari Asyura ya. Berpuasa, bersiwak, bercelak, berwangi-wangi, meluaskan rezeki untuk kaum keluarga, kalau boleh mengusap kepala anak yatim, menziarahi orang soleh dan ulamak, dan lain-lain amalan kebajikan. Moga Allah memberkati kita semua dengan barakah hari Asyura ini. Amiin

    Posted at 09:22 am by aljoofre
    5 Ulasan  

    Wednesday, January 09, 2008
    Al-Habib Ahmad Masyhur bin Taha Alhaddad



    Alhabib Ahmad Masyhur bin Taha Alhaddad adalah salah seorang generasi Alawiyin yang paling berpengaruh di benua Afrika Timur dan biasanya digelar sebagai seorang Mujaddid di sana. Beliau lahir di Kota Qaydun, Hadhramaut pada tahun 1325 H. Beliau dibesarkan di dalam keadaan ilmu dan taqwa oleh ibunya yang solehah Sofiyyah, yang merupakan anak kepada Al-Imam Tahir bin Umar Alhaddad.

    Pendidikan awalnya kemudian berpindah ke tangan dua orang ulamak besar di dalam keluarga Alhaddad iaitu Al-Habib Abdullah dan Al-Habib Alawi, dua beradik yang mengasaskan Ribat (Pondok/Pesantren) Qaydun. Al-Habib Ahmad sendiri kemudiannya menjadi guru di Ribat tersebut dalam usia yang masih muda. Beliau kemudiannya memasuki Ribat Tareem dan belajar daripada para ulamak di sana.

    Sesuai dengan ilmu agama yang memerlukan penuntutnya belajar dengan cara bersanad dan ijazah, seperti mana tradisi Ulamak Alawiyin, Al-Habib Ahmad telah mendapatkan ijazah daripada ramai ulamak, di Hadhramaut, Hiaz, Indonesia dan Afrika Timur. Syaikh yang paling banyak memberinya kesan dari sudut rohani pula ialah Al-Imam Ahmad bin Muhsin Alhaddar.

    Awal 1350-an Hijriah, beliau menetap di Mombasa, Kenya. Selain perniagaannya di sana, beliau mengadakan halaqah ilmu di Masjid dan rumahnya. Dengan rahmat Allah beliau menjadi pemimpin, dan seorang tokoh yang disegani di sana. Masyarakat mula berduyun-duyun mendatangi beliau dan mendengar semua pengajiannya. Beliau juga menjadi rujukan utama dalam urusan agama dan Syariah, dan berjaya menentang bid'ah dan mengajak manusia kembali kepada Sunnah.

    Beliau juga mengadakan ekspedisi dakwah ke kawasan-kawasan pedalaman Kenya menyeru suku-suku kaum di sana kepada Islam. Namanya mula terkenal di kawasan Afrika Timur dengan gelaran "Habib".

    Pada tahun 1375 H (1955 M) beliau berhijrah ke Kampala, Uganda dan menetap di sana selama 13 tahun. Beliau meninggalkan alam perniagaan dan menumpukan sepenuh masanya untuk mengajar dan menyeru masyarakat kepada Allah. Banyak pemuda Afrika yang belajar dengannya, kemudiannya menjadi Qadi, para guru agama dan pendakwah. Beliau sendiri pergi ke segenap kawasan, hutan mahupun gurun, untuk berdakwah terutamanya di Uganda, Congo, Tanzania dan negara-negara Afrika Timur lain. Beliau berjaya mendirikan banyak Masjid dan sekolah serta mengislamkan ramai penyembah berhala dan Kristian di sana.

    Usaha dakwah Habib Ahmad di Kenya dan Uganda telah menyebabkan peningkatan yang begitu besar jumlah ummat Islam. Sebagai seorang guru yang tidak pernah mengenal penat, masyarakat yang inginkan ilmu, barakah atau nasihat berbondong-bondong datang ke rumahnya.

    Habib Ahmad Masyhur antara hamba Allah yang benar-benar menghambakan diri sepenuhnya hanya buat Allah. Beliau sentiasa menjaga wirid dan solat sunnah. Tidak pernah beliau gagal untuk bangun menunaikan Qiamullail hatta ketika bermusafir. Beliau meniti jalan nenek moyangnya dan merupakan replika hidup lepada mereka dalam melaksanakan dan menunjukkan bagaimana Sunnah Rasul dihayati.

    Setiap gerak geri, kalimah dan senyuman beliau menyegarkan ingatan kita akan kehadiran Rasulullah. Tiada yang melihat wajah beliau melainkan akan mengingati Allah. "Haibah" padanya menyebabkan mereka yang melihat berasa hormat, namun kelembutan dan hormat pada semua, melembutkan hati mereka yang hadir. Mereka akan terlupa segala masalah dan dapat menikmati pengalaman diterima oleh seseorang yang cukup hampir dengan Allah dan Rasul-Nya.

    Penghujung hayatnya, Al-Habib Ahmad sering berulang alik dari Afrika ke Makkah dan Madinah. Apabila usianya sudah semakin lanjut, beliau menetap di Jeddah bersama-sama ahli keluarganya. Rumahnya sentiasa terbuka buat para tetamu. Mereka mendapati pada dirinya seorang mursyid sebenar, pembimbing yang ikhlas dan seorang alim yang hebat. Beliau meneruskan amal beliau sehinggalah ajal menjemput beliau pergi menemui Kekasih dalam usianya 87 tahun (6 Disember 1995).

    Selain dakwah di bumi Afrika dan anak-anak murid yang menjadi Masyaikh kemudiannya, Al-Habib juga meninggalkan khazanah yang cukup bernilai dari sudut penulisan. Tulisannya yang paling masyhur berjudul Miftahul Jannah (Kunci Syurga). Moga Allah memberikan kita manfaat dengan beliau, ilmu, rahsia, nafahat, cahaya dan barakah beliau. Amiin.

    p/s : 1) Tulisan di atas adalah terjemahan daripada sebuah buku Potpourri dan khusus buat pengunjung blog ini yang memohon ana menulisnya.

    2) Doa akhir dan awal tahun da baca belum? Kalau belum baca, belum terlambat untuk membacanya. Klik Doa Akhir dan Awal Tahun. Jadikan juga azam tahun baru anda sebagai sebuah doa, moga Allah mudahkan.

    3) Doakan pemergian ana ke UK pada 12 Januari ini ya.

    Posted at 07:01 pm by aljoofre
    3 Ulasan  

    Saturday, January 05, 2008
    Nafsu Yang Tenang

    Semasa memberikan ceramah-ceramah selaku Ketua Bait Muslim Selangor di sini dan juga ketika mengajar kitab Bidayatul Hidayah, ana biasa menyebutkan tips untuk mendapatkan nafsu yang tenang. Jiwa yang diserukan oleh Allah di akhir Surah Al-Fajr supaya kembali kepada Tuhannya dalam keadaan redha lagi diredhai.

    Apapun tips yang diberikan, kita harus sedar satu perkara, nafsu ini biasanya akan menyeru kepada perkara yang buruk asalnya (ammarah bissu'). Nafsu menyeru supaya tidur, jangan bangun di tengah malam. Nafsu menyeru makan dengan banyak sehingga halal haram disapu bersih. Nafsu inginkan kekayaan dunia, hingga sanggup terjual maruah diri dan agama. Nafsu inginkan pangkat hingga lupa perjuangan Islam yang dilaungkan. Nafsu kepada jantina yang lain, hingga mengenepikan batasan syariat.

    Hatta nafsu yang sepatutnya disalurkan ke arah yang baik pun kadang kala, menyebabkan kita lemah dalam mencari redha Allah. Nafsu akan meminta, mendesak, megasak kita sedayanya. Namun yang menjadi masalahnya, nafsu takkan puas. Kita memberi sentiasa diminta lagi. Kita memenuhkan permintaannya, kadang kala dituntut pula yang lebih lagi. Sampai bila mahu tenang gelodak nafsu ini ya?

    Air Yang Dijerang

    Seorang rakan ana biasa membawa tamsilan begini. Nafsu ibarat air yang dijerang di atas api. Selagi mana tidak ditutup api, selagi itulah ia akan menggelegak. Ataupun angkat sahaja, dan tuangkan air itu ke tempat yang lain. Yang penting tuangkan air itu ke cawan yang betul. Tuang ke tempat yang salah, buruk padahnya. Hati-hati pula menuang, jangan pula sampai terpercik ke tangan dan kaki.

    Begitu jualah nafsu kita. Perlulah dimanfaatkan dengan baik. Kalau air yang dijerang, boleh dibuat teh dan kopi, nafsu yang digunakan dengan baik boleh membawa kita ke syurga. Banyak sungguh hikmah nafsu ini. (rujuk entry ana sebelum ini). Bagaimana pula untuk memadamkan nafsu seperti mana memadam api yang menjerang air? Bak kata Al-Imam As-Syaikh Abu Bakar BinSalim, "Waktumu yang paling bermanfaat adalah di saat kamu memfanakan nafsumu dan waktumu yang paling sia-sia adalah disaat kamu mendapatkan nafsumu."  Caranya telah pun diajar oleh Islam sebenarnya, namun tentu amat sukar selagi mana tak didapatkan Nafsu Mutmainnah itu.

    Nafsul Mutmainnah

    Al-Imam Busiri di dalam Burdahnya yang masyhur ada menyebutkan, "Nafsu bak seorang anak kecil, jika dibiarkan menyusu, dia kan membesar dalam keadaan ingin menyusu sahaja, tetapi jika engkau cuba mencerai susukan dia, akan terputus keinginannya pada susu tersebut."

    Tamsilan Imam Busiri ini ana selalu bawakan. Cuba perhatikan apabila seorang ibu ingin mencerai susukan anaknya. Tentu sekali si anak meronta dan menangis tak henti. Meminta-minta supaya disusukan oleh si ibu. Akan tetapi, berapa lamakah agaknya tangisan itu berterusan? Apabila berhenti dari menangis, lama kelamaan, si bayi sudah tidak teringin kepada susu ibunya. Tenanglah dia.

    Begitu juga anak kecil yang inginkan sesuatu dari kedai. Sejenis mainan contohnya. Menangis meronta meminta dari ayahnya mohon dibelikan mainan tersebut. Jika si ayah berkeras tidak mahu membeli, akhirnya diam juga si anak, bila diketahui tangisannya takkan berhasil. Tenanglah dia.

    Nafsu kita juga begitu. Perlu ditarbiah. Mesti dididik. Patut diajar bahawa kita takkan mengikuti sahaja kehendaknya, takkan tunduk patuh kepada permintaannya. Engkau makhluk Allah yang dicipta untuk membantu aku mencapai tahap yang mulia, bukan dicipta untuk aku mengikut perintah engkau. Tentu sekali susah mulanya.

    Hendak bangun di awal pagi yang dingin, ketika manusia lain nyenyak dibuai mimpi. Hendak meninggalkan sesuatu yang seronok dilakukan untuk solat contohnya. Hendak meninggalkan tabiat bermesra dengan manusia lawan jantina.  Hendak meninggalkan keseronokan dunia, untuk mencari keredhaan Allah. Tentu memberontak sungguh nafsu ini. Meronta-ronta memohon kita mengikuti kehendaknya.

    Mujahadahlah. Usahalah sedayanya agar dilawan juga nafsu itu. Mohonlah bantuan Allah agar mendapat kejayaan menundukkannya. Sukar sekali bukan? Tentu sukar mulanya. Akan tetapi percayalah, jika nafsu yang meronta-ronta itu kita tidak hiraukan, kehendaknya tidak dilayan, hanya kerana Allah, lama kelamaan nafsu kita kan tenang jua akhirnya. Bangun di tengah malam bertambah seronok. Menanti waktu solat bak menanti kekasih yang akan datang. Tidak bermesra dengan jantina yang lain (yang tidak halal ya), tidak terasa apa pun kurangnya. menghayati Al-Quran bergetar hati. Membaca kitab ilmiah terasa indah. Kerana ketika itu nafsu kita tenang bak anak kecil tadi. Moga Allah kurniakan kita hati yang tenang itu.

    Perjalanan Dakwah

    Dalam perjalanan dakwah di bumi Mesir ini, ana kerap berpisah dengan anak isteri. Ana sering ditanya juga persoalan yang sama. "Bagaimana Ustaz tabah dengan perpisahan begitu ya?" Ana katakan, "cuba perhatikan pejuang Islam lain. Cuba sebutkan seorang sahaja pejuang agama Allah yang tidak pernah berpisah dengan anak isteri."

    Mereka bertanya lagi, "tapi Ustaz masih belum menjawab soalan kami. Kami tanyakan bagaimana, bukan siapakah contoh yang ada." Ana jawab, "carilah Nafsu Yang Tenang."

    Posted at 05:07 pm by aljoofre
    2 Ulasan  

    Friday, December 14, 2007
    Hikmah Nafsu

    "Aku teringin makanan yang sedap. Aku mahu pangkat kedudukan yang tinggi. Aku mahukan suami/isteri yang terbaik. Tapi Ya Allah! Mengapa nafsuku ini sukar sekali diajar agar menjadi mutma'innah? Mengapa sukar sekali untukku ikat syahwatku ini?  Sedangkan telah berulang kali aku diajar untuk menjadi seorang murid yang baik, nafsuku perlu dikekang. Keinginanku perlu cuba disekat. Aku patut menginginkan keredhaan dan maghfirah-Mu semata, Ya Allah!"

    Monolog diri di atas pernah diceritakan oleh seorang anak murid kepada ana baru-baru ini. Ana tidak memberi apa-apa komentar kepadanya. Ana rasakan jika benar monolog itu datang dari hati yang tulus ikhlas, ana tidaklah layak untuk memberinya nasihat. Kedudukan hati yang begitu cukup tinggi di sisi Allah. Teringat, kata-kata seorang ahli Sufi, "Jika ku mampu meninggalkan secupak makanan itu lebih ku cintai dari beribadat sepanjang malam."

    Namun begitu mengapa keinginan nafsu ini disuburkan di dalam jiwa manusia? Apakah faedahnya? Mengapa diilhamkan Allah kepada kita kebaikan dan keburukan nafsu ini? Sambil berfikir bersendirian, ana menukar saluran TV kepada Saluran Al-Resalah. Terpampang wajah bercahaya Habib Ali Aljufri, dalam racangan kegemaran ana "Hayyun Fi Qulubina".

    Subhanallah. Habib Ali sedang menceritakan perihal nafsu dan hikmahnya. Mutiara kata yang terbit dari beliau benar-benar menyejukkan hati ini. Katanya, ada tiga hikmah utama, nafsu disuburkan dalam jiwa manusia.

    1) Istimrar (kesinambungan)
    2) Isti'nas (kerinduan dan keinginan kepada sesuatu)
    3) Ba'is lilhimam (faktor pencetus kepada kekuatan)

    Manusia memerlukan makanan untuk kesinambungan nyawanya. Memerlukan perkahwinan untuk kesinambungan spesis manusia.  Usah disalahkan nafsu. Tanpa nafsu, tidak ada manusia yang ingin berkahwin. Manusia juga perlukan nafsu makan faktor penguat untuk berusaha mencari rezeki. Manusia juga memerlukan nafsu perkahwinan  sebagai pencetus untuk berusaha mendapatkannya, dan memperbaiki kedudukan diri. Begitu jualah pada setiap jenis nafsu. Hikmah pertama dan ketiga ini mudah dikecap oleh fikiran yang terbuka dan hati yang beriman.

    Namun apa yang ana tertarik adalah pada huraian hikmah kedua, iaitu isti'nas. Habib Ali memberikan contoh, seorang anak kecil yang ditunjukkan gambar sebuah basikal, dan dijanjikan untuknya sebuah basikal oleh si ayah jika belajar bersungguh-sungguh. Tentu sekali si anak tadi, sudah merasa nikmat melihat gambar tersebut, dan sudah bernafsu untuk mendapatkannya. Namun nikmat yang sebenar adalah apabila dia benar-benar mendapatkan basikal itu daripada si ayah.

    Begitu jualah kita di dunia ini. Apabila kita bernafsu untuk makan, jadikanlah makanan yang kita nikmati itu mengingatkan dan menguatkan pula keinginan kita untuk mendapatkan makanan yang jauh lebih lazat di Syurga. Anggur yang dimakan, susu yang diminum, takkan sama di dunia dan di akhirat. Setiap biji anggur yang kita nikmati di dunia, cuba kita bayangkan pula nikmat yang jauh lebih besar di Syurga, yang mana nikmatnya tidak ada mata yang mampu menggambarkannya, tidak ada telinga yang mampu mengecapnya dan tidak terlintas di hati manusia di dunia.

    Nafsu perkahwinan, di dunia, sewajarnya mengingatkan kita pula akan perkahwinan di akhirat. Tak kira anda berkahwin dengan seorang wanita mahupun berpoligami di dunia sementara ini, jadikan ia penguat untuk mendapatkan Syurga Firdaus. Usahakanlah agar perkahwinan itu mampu menguatkan diri agar merindui akhirat.

    Nafsu mendapatkan pangkat dan kedudukan di dunia, patut mengingatkan kita agar merindui kedudukan di sisi Allah di dalam Syurga. Kedudukan yang tiada taranya. Tentu sekali nafsu yang terbaik adalah apabila mengharapkan kedudukan (manzilah) di sisi Allah ketika di dalam dunai ini lagi. Bak, sebuah Hadis Qudsi, apabila kita menyebut nama Allah dalam satu kumpulan, Allah akan menyebut nama kita di dalam perkumpulan yang jauh lebih baik daripada perkumpulan kita itu. Bukankah itu satu kedudukan yang kita ingin kecap di dunia ini? Namun itu semua sepatutnya menyebabkan kita lebih merindui nikmat kedudukan di dalam Syurga. Khususnya, nikmat yang tidak terbanding apabila dianugerahkan Allah melihat kepada-Nya di dalam Syurga nanti. Segala nikmat di dunia ini akan terasa remeh malah tidak berharga, jika kita mendapat nikmat Allah di Syurga-Nya.

    Keinginan yang dikecap dengan nikmat mendapat doa yang mustajab pun takkan sama dengan nikmat di syurga. Malahan nikmat beribadat di tengah malam juga (seperti mana kalam para salafussoleh, nikmat beribadat di tengah malam adalah nikmat teragung di dunia ini),  tidak dapat mengalahkan nikmat kedudukan yang tinggi di sisi Allah Ta'ala di Syurga nanti.  Moga setiap nafsu kita di dunia ini dapat menguatkan lagi keinginan kita untuk mendapatkan yang lebih baik lagi di akhirat kelak. Moga Allah memasukkan kita dalam golongan yang mendapat nikmat di atas nikmat di dalam Syurga-Nya nanti. Amiin.

    p/s: 1) LIhat Usaha Wakafkan Karya Ulamak . Usaha membantu mengembangkan karya Ulamak Nusantara amatlah dipuji. Moga Allah membantu dan memberkati usaha mereka ini. Sementara itu, doakan usaha kami, dalam projek ta'liq (komentar ringkas) terhadap kitab Bahrul Mazi Syarh Mukhtasar Sohih Tirmidzi, dipermudahkan dan diberkati Allah.


    2) Entry tahun lepas. Layalin 'Asyr. Ada disertakan sekali zikir amalan para ulamak terdahulu pada 1-10 Zulhijjah. Terjemahannya pula di sini

    3) Maaf buat BAKAN-BAKAN dan DPM yang meminta ana memberi pengisian, tetapi tidak dapat dipersetujui, kerana keadaan kesihatan yang menghalang ana aktif bergerak baru-baru ini. InsyaAllah lepas ni ya! Doakan ana sihat. (kalian yang tidak berada di Mesir, cuba fikirkan apa makna BAKAN dan DPM ni ya? ;-) )

    Posted at 09:41 pm by aljoofre
    9 Ulasan  

    Next Page

    Google
     
    Web Aljoofre Meredah Usia

    Aljoofre Meredah Usia..

    Tiada hak cipta terpelihara. Sebarang unsur peniruan, pengedaran dan penerbitan dari web ini adalah dibenarkan untuk mengembangkan dakwah Islamiah. Allah s.w.t. sahajalah yang akan memberi ganjaran dan melindunginya.