Sambutan Memperingati Kelahiran Nabi (Muqaddimah)
Bismillahirrahmanirrahim..
Alhamdulillahi Rabbil 'Alamin, Wassolatu Wassalamu 'Ala Asyrafil Mursalin Saiyidina Muhammadin Wa 'Ala Alihi Wasohibihi Ajma'in..
Amma ba'd..
Telah lama berlangsungnya perbicaraan dan perdebatan berkenaan hukum menyambut Maulid Nabawi. Dan ana tidak berniat pada asalnya untuk menambah lagi perbicaraan yang ada. Ini kerana tugas dan tanggungjawab para ulamak dan pendakwah kepada Allah lebih banyak dan besar lagi dari mendebatkan sesuatu perkara yang kadang-kala natijahnya tidak menguntungkan ummat Islam. Lebih-lebih lagi bicara dan perdebatan ini seolah-olah sudah menjadi acara tahunan yang kedengaran saban tahun sehingga membosankan sidang pembaca.
Namun terdapat ramai sahabat dan pembaca yang meminta penjelasan ana sendiri secara terperinci dengan segala dalil yang ada serta pendapat para ulamak tentang hukum sambutan ini serta menjawab segala tohmahan padanya. Oleh kerana ana takut termasuk dalam golongan yang menyembunyikan ilmu (na'udzubillah) dan bersesuaian dengan sambutan yang akan dilaksanakan 2-3 minggu lagi, ana memulakan penulisan ini.
Sekali lagi ana nyatakan, ana tidak ingin membesar-besarkan perkara khilafiah, malah ana sering kali menegahnya, kecuali pada keadaan-keadaan tertentu seperti menolak syubhah dan tohmahan, menyelesaikan kemusykilan atau menyanggah mereka yang suka menyebarkan perkara-perkara ini dan mengelirukan masyarakat. Banyak lagi perkara lain yang ana sentuh selain dari perkara-perkara khilafiah ini, jadi jangan salah sangka bahawa ana lebih berminat menyentuh perkara ini sahaja ya. Tugas kita sebagai pendakwah ke jalan Allah menuntut kita menyebarkan kefahaman dinul Islam dalam segala aspek kehidupan yang ada dan mengajarkannya mengikut had ilmu dan kefahaman yang kita ada.
Dalam penulisan ini insyaAllah ana akan membahagikan masalah ini kepada beberapa bahagian. Bahagian pertama insyaAllah akan menyentuh secara ringkas maksud sambutan memperingati maulid nabi serta sejarahnya, serta cara sambutannya. Bahagian kedua pula, insyaAllah ana akan membentangkan dalil-dalil syara' serta pandangan Ibn Taymiyah pada sambutan maulid nabi ini. Pada bahagian ketiga pula akan dibicarakan perihal bangun atau berdiri ketika bacaan maulid khususnya pada ketika dibacakan saat kelahiran Rasulullah. Bahagian keempat akan membicarakan bid'ah yang berlaku pada sambutan maulid nabi. Manakala bahagian kelima akan membicarakan segala tohmahan terhadap sambutan maulid nabi dan jawapan bagi tohmahan2 ini. Pada penutupnya ana akan menyenaraikan senarai ulamak masyhur terdahulu yang telah menulis kitab khas berkenaan sambutan ini.
Setiap perbicaraan ini ana harapkan dapat diselesaikan dengan izin dan pertolongan Allah. Tidaklah ana memohon dan berharap melainkan taufiq dan pertolongan Allah serta keredhaan-Nya dalam amalan ini. Semoga ia digolongkan sebagai amalan yang semata-mata ikhlas kerana-Nya. Amiin..