Golongan yang suka membid'ahkan sambutan ini amat suka menggunakan kata-kata Syaikh Ibn Taymiyyah dalam permasalah aqidah dan feqh mereka. Namun begitu dalam urusan ini mereka tidak dapat lagi berpegang dengan pendapat beliau yang tidak mengingkari sambutan ini secara total malah ada menggalakkan lagi.
Syaikh Ibn Taymiyyah rahimahullah telah berkata : Ada diberikan pahala kepada sebahagian orang atas pelaksanaan maulid. Begitulah seperti mana yang dilakukan oleh masyarakat samaada sebagai menyaingi orang Nasrani pada kelahiran Nabi Isa Alaihissalam, atau kerana kecintaan kepada Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam dan membesarkan baginda.
Beliau juga berkata : Membesarkan maulid dan menyambutnya sebagai satu musim telah ada dilakukan oleh sebahagian orang, dan ada padanya pahala yang besar kerana tujuan mereka yang baik, dan mengagungkan Rasulullah, seperti mana disebutkan. Oleh kerana ini Imam Ahmad apabila ditanya perihal sebahagian pemimpin yang berbelanja ribuan dinar untuk mushaf Alquran, beliau berkata: Biarkanlah dia, inilah sebaik-baik yang dibelanjakannya dari emas. Beliau berkata begini walaupun di dalam mazhabnya, menghiasi mushaf, hukumnya makruh.
Begitulah pendapat Ibn Taymiyah yang jelas tidak mengingkari sambutan ini, walaupun beliau mengingkari apa-apa perbuatan mungkar yang ada pada sambutan ini (sama seperti fahaman kita yang telah diterangkan sebelum ini). Malah Ibn Taymiyah menyamakan hukum sambutan ini dengan jawapan Imam Ahmad pada perbelanjaan besar untuk menghiasi mushaf. Namun demikian mereka yang mengingkari sambutan ini, akan menggunakan pendapat Ibn Taymiyah secara umum dalam memerangi bid'ah (yang haram) untuk memerangi sambutan maulid nabi, sambil meninggalkan apa yang dikatakan sendiri oleh Ibn Taymiyah dalam perkara ini secara khusus. Semoga Allah memberi hidayah kepada semua.
Bersambung : Bahagian 3 (Hukum berdiri ketika bacaan maulid)
Posted at 11:42 pm by aljoofre