Berdiri Ketika Maulid - Pandangan Baik Para Ulamak
Walaupun kita sebutkan sebelum ini bahawa berdiri ketika disebutkan kelahiran Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam adalah soal kebiasaan manusia, bukanlah suatu ibadah sunnah atau wajib, terdapat juga sebahagian ulamak yang memandang baik perkara ini. Albarzanji, yang merupakan salah seorang penyusun maulid sendiri, ada mengatakan : Berdiri ketika disebutkan kelahiran Baginda yang mulia, telah dipandang baik oleh para imam yang hebat, maka beruntunglah sesiapa yang puncak tujuannya memuliakan baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam.
>Wajah pandangan baik tersebut boleh kita lihat dari 5 sudut.
1) Ia telah diamalkan di seluruh pelusuk dunia, dan dipandang baik oleh ulamak di timur dan barat. Tujuannya pula ialah memuliakan tuan maulid yang mulia ini, Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Dan apa yang dipandang baik oleh muslimin, maka ia adalah baik di sisi Allah seperti mana yang kita telah sebutkan sebelum ini dalam hadis mauquf daripada Ibn Abbas.
2) Berdiri hormat bagi mereka yang mempunyai keutamaan adalah disyariatkan dan sabit dengan begitu banyak dalil dari sunnah. Malah Imam Nawawi telah menyusun perkara ini dalam satu bahagian tersendiri. Ia dikuatkan lagi oleh Imam Ibn Hajar yang menjawab mereka yang menentang Imam Nawawi dalam perkara ini dalam satu bahagian yang lain.
3) Diriwayatkan dalam hadis yang muttafaq 'alaih bahawa baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam menyeru kepada kaum Ansar : "Berdirilah bagi penghulu kalian". Perintah berdiri ini adalah sebagai menghormati dan mengagungkan Saiyidina Sa'd Radhiyallahu 'Anh, dan bukanlah kerana beliau sedang sakit ketika itu. Ini kerana jika perintah ini hanya disebabkan Saiyidina Sa'ad sedang sakit, tentulah baginda akan memerintah : berdirilah bagi menyambut orang yang sedang sakit di kalangan kalian, dan bukannya, berdirilah bagi penghulu kalian. Selain itu tentulah tidak diperintahkan semua orang berdiri bagi menyambutnya, kerana cukuplah sebahagian sahaja yang berdiri menyambut orang yang sakit. Di sini jelas bahawa perintah berdiri bagi memuliakan seseorang adalah disyariatkan.
4) Antara petunjuk Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam adalah baginda selalu berdiri sebagai menghormati dan menyambut sesiapa yang masuk berjumpa baginda. Ini seperti mana yang baginda lakukan sendiri ketika mana baginda berdiri menyambut puteri baginda Fatimah, dan meyatakan penghormatan baginda untuk beliau. Begitu juga perintah kepada kaum ansar untuk berdiri menyambut penghulu mereka. Maka ini menunjukkan pensyariatan berdiri, dan baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam adalah yang paling berhak kita agungkan dari para sahabat tadi.
5) Mungkin dikatakan bahawa penghormatan tersebut boleh jika pada masa hayat dan kehadiran baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam, dan ketika sambutan maulid ini baginda tidak hadir. Jawapannya adalah, para pembaca maulid yang mulia menggambarkan di dalam jiwa mereka hadirnya baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Dan gambaran ini merupakan suatu perkara yang terpuji dan dituntut, malah mesti dilakukan setiap waktu dalam minda muslim yang benar-benar beriman, bagi menyempurnakan ketaatan dan menambahkan kecintaan kepada baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam.
Mereka berdiri sebagai tanda hormat dan mulia dengan gambaran yang ada pada jiwa mereka berkenaan Rasul yang agung ini, sambil merasakan kemuliaan dan keagungan kedudukan baginda. Dan ini merupakan suatu perkara yang biasa, seperti mana disebutkan sebelum ini. Malah menghadirkan demikian itu adalah suatu yang mesti bagi menambahkan rasa penghormatan kepada baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam.