Bid'ah dan Perkara Mungkar Pada Sambutan Maulid Nabi
Tidak kita nafikan terdapat beberapa perkara bid'ah dan mungkar yang berlaku pada sebilangan kecil sambutan maulid nabi yang diadakan di beberapa tempat. Perkara ini sering kali kita ingatkan dan tegurkan keburukannya. Namun begitu, Alhamdulillah di kebanyakan majlis sambutan maulid yang kita hadiri tidak berlaku bid'ah dan perkara mungkar demikian.
Antara perkara mungkar tersebut adalah percampuran dan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram yang merupakan pintu utama kejahatan dan sebab terbesar terjadinya fitnah.
Antara bid'ah pada sebahagian sambutan maulid lagi ialah apa yang dilakukan oleh golongan yang jahil apabila menyambutnya dengan perkara-perkara yang melalaikan, permainan, nyanyian yang haram dan apa sahaja bentuk yang berkaitan yang termasuk dalam maksiat kepada Allah serta menghina larangan Allah.
Selain itu terdapat juga mereka yang menyambutnya melakukan perbuatan mungkar, meringan-ringankan solat, bermuamalah dengan riba', meninggalkan perkara-perkara sunnah (samaada yang zahir mahupun batin).
Dan antara perkara yang buruk, yang dikira sebagai berpaling dari kebaikan dan apa yang datang dari Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam adalah apabila sebahagian mereka hanya menyambutnya pada malam atau hari tertentu, kemudian melupakan dan meninggalkannya pada hari-hari lain sepanjang tahun. Sepanjang tahun mereka tidak ada langsung berkumpul untuk membaca sirah baginda dan mengingati kisah perjuangan baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam.
Terdapat di sebahagian tempat, mereka hanya memberi keutamaan mengingati Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam dengan membaca sejarah baginda, mengharumkan majlis-majlis dengan membaca sifat-sifat, keutamaan baginda, madah dan pujian buat baginda, memberi makan serta perbuatan-perbuatan kebajikan lain hanya pada bulan Rabiul Awal. Perkara-perkara ini memanglah amat baik dan tiada seorangpun meraguinya. Namun apa yang wajib ke atas kita adalah melakukannya pada setiap hari sepanjang tahun, kerana ingatan terhadap Rasul Sallallahu 'Alaihi Wasallam tidak mempunyai waktu yang terhad atau hari yang tertentu, malah ia merupakan agenda kehidupan seorang muslim setiap hari pada setiap urusan kehidupannya. Perhimpunan-perhimpunan yang diadakan ini pula adalah sebagai kunci bagi memperingatkan kita kepada realiti dan tujuan ini.
Jikalau sambutan-sambutan maulid bebas dari perkara-perkara bid'ah dan mungkar ini, tentu sekali ia merupakan wasilah yang terbaik bagi kebaikan, dan metod serta pintu yang termulia bagi dakwah kepada Allah, peringatan dan nasihat ummat manusia sebagai menyontohi generasi salafussoleh yang termulia.
Alhamdulillah, kebanyakan majlis sambutan maulid yang kita hadiri samaada di sini mahupun di tempat-tempat lain, merupakan perhimpunan yang penuh kemuliaan dan kesucian, majlis yang dipenuhi dengan adab, perasaan indah dan penghormatan, perhimpunan keilmuaan, keutamaan, kegembiraan dan kegemilangan. Ia diadakan pula di masjid-masjid (tempat yang termulia di muka bumi), ataupun di dewan-dewan, dataran-dataran, sekolah dan institusi pengajian agama, mahupun di rumah para ulamak. Ia dihadiri pula oleh para ulamak besar serta para pendakwah ke jalan Allah yang menyerikan majlis dengan nasihat dan pengajaran mereka.
Mungkin mereka yang anti-sambutan maulid ini melihat kepada beberapa majlis yang diadakan yang mana terdapat padanya perkara-perkara bid'ah dan mungkar yang kita sebutkan di atas tadi. Kita jawap kepada mereka, sesungguhnya perkara-perkara mungkar tersebut tidak hanya terjadi pada sambutan maulid sahaja, tetapi juga pada sambutan-sambutan yang kita sepakati pensyariatannya, seperti di masjid-masjid, tempat-tempat mengerjakan haji dan umrah (terutamanya ketika berlaku kesesakan), atau pada perhimpunan-perhimpunan tahunan seperti solat eidul fiti dan eidul adha, wuquf di Arafah, melontar jamrah, dan apa jua perhimpunan lain. Namun begitu perkara mungkar ini tidak menjejaskan asas perhimpunan-perhimpunan ini, kerana qaedah : Air yang suci lagi menyucikan itu tidak akan ternajis dengan sesuatu yang lain.
Maka bolehkah seorang yang berakal mengatakan kita harus melarang semua perhimpunan yang disyariatkan tersebut kerana berlaku padanya perkara-perkara mungkar tersebut? Subhanallah. Jika seorang yang benar-benar ingin melarang perkara mungkar dengan insaf dan berfikiran jelas tentulah mengatakan, wajib bagi kita mengingkari segala bentuk kemungkaran tidak kira berlaku dalam apa jua majlis, samaada ia berlaku dalam sambutan maulid, mi'raj, haji, hari raya, tarawih, merdeka, atau apa jua majlis lain, tanpa hanya menumpukan perhatian hanya pada sambutan maulid itu sendiri, dengan mengerah segala tenaga dan media, di forum-forum atau laman web tertentu, di masjid atau universiti, untuk memerangi perhimpunan bagi sambutan maulid.
Sesiapa yang ingin memerangi perkara mungkar dan bid'ah dengan hikmah dan keinsafan, tanpa mengkhususkannya pada sambutan tertentu sahaja, tentu sekali kita semua akan menyokong dan membantu sedaya upaya. Semoga segala sambutan yang kita adakan bersih dari perkara mungkar demi menjaga kesucian dan menghormati Tuan kepada sambutan maulid ini sendiri, Sallallahu 'Alaihi Wasallam.
Posted at 01:44 pm by aljoofre