Tohmahan Yang Gugur
Pada hakikatnya Maulid tidak lain dan tidak bukan adalah perhimpunan untuk mendengar sirah Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam, serta memperingati kurniaan Allah Ta'ala ke atas umat ini dengan kelahiran Nabi Yang Mulia Lagi Penyantun dan Penyayang Sallallahu 'Alaihi Wasallam.
Namun demikian terdapat beberapa serangan liar serta tohmahan yang sangat lemah, yang dipegang kuat oleh mereka yang mengingkari maulid. Malah mereka saban tahun akan membuat serangan-serangan ini demi menegakkan benang basah mereka.
Antara tuduhan mereka adalah, orang yang menyambut Maulid beriktiqad bahawa ia adalah hari raya yang ketiga. Dakwaan ini telah ditolak dan telah diterangkan sebelum ini.
Selain itu mereka juga mendakwa bahawa sambutan Maulid merupakan tambahan kepada syariah dan seolah-olah menokok tambah dalam agama. Ini kerana, kata mereka, jika ia merupakan suatu perkara yang baik, tentu sekali Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam akan membuatnya. Dakwaan ini merupakan suatu dakwaan liar yang lemah sekali. Ini kerana, tiada seorang pun sama ada orang awam di kalangan Muslimin, jauh sekali para ulamak, yang akan beriktiqad atau menyangka demikian. Tambahan pula, bukanlah semua yang tidak dilakukan oleh Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam atau salaf, dan dilakukan oleh golongan selepas mereka dikira sebagai cubaan menyempurnakan agama atau menokok tambah dalam syariah. Amat jauh sekali fahaman ini. Kalaulah demikian di manakah pintu ijtihad???
Apakah yang mereka katakan pada ribuan
masa'il ijtihadiah (permasalahan yang diselesaikan dengan ijtihad para mujtahidin) yang diselesaikan selepas kurun-kurun yang utama tersebut? Adakah ia menyempurnakan agama juga?! Dan bolehkah kita katakan semua permasalahan ini, terlepas pandang dari Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam dan para Salaf? Atau mereka melupakannya atau tercuai dari menyelesaikannya? Subhanallah. Ini merupakan satu sangkaan yang jelas sesat.
Seterusnya kita persoalkan, siapakah yang mendakwa bahawa amalan maulid ini mempunyai cara dan teknik yang berbentuk ta'abbudiyyah yang mempunyai nas secara langsung ke atasnya? Dakwaan ini merupakan sebesar-besar tipu daya dan sebatil-batil perkara yang cuba diserapkan oleh mereka. Dakwaan ini juga telah kita jawab sebelum ini.
>Selain itu mereka mengatakan bahawa sambutan maulid ini merupakan bid'ah dari kelompok Rafidhah, kerana yang pertama menciptakan sambutan ini adalah kerajaan Fatimiyyah yang mereka katakan zindiq, rafidhah dan keturunan Abdullah bin Saba'. Begitulah apa yang mereka dakwa.
Jawapan kepada tuduhan ini telah kita sebutkan sebelum ini, yang mana sesungguhnya yang pertama sekali menyambut maulid adalah Tuan kepada Maulid ini sendiri, iaitu Saiyidina Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Kita telah sebutkan dalil-dalil sahih padanya yang mana tiada khilaf padanya.
Adapun perselisihan pada cara atau teknik yang sentiasa berkembang dan berubah, ia bukanlah suatu perkara yang mesti mempunyai nas secara langsung. Malah sebenarnya umat Islam telah pun menyambutnya sebelum zaman Fatimiyyah lagi dan para ulamak telah menyusun perihal maulid ini dalam kitab-kitab yang khas baginya, seperti Maulid Alhafiz Al-'Iraqi, Alhafiz Ibn Nasiriddin Addimasyqi, Alhafiz Ibn Katsir, Alhafiz Assakhawi dan Ibnil Jauzi.
Penipuan dan Pemalsuan Terhadap Ibn Katsir
Kita juga ada membaca dan mendengar cubaan mereka yang anti-maulid, untuk menyebarkan kebatilan mereka dengan apa jua cara, walau dengan pemalsuan (seperti mana kebiasaan mereka bagi mengaburi orang awam di kalangan Muslimin, terutamanya yang kurang ilmu), apabila mereka mengatakan begini (dengan lafaz mereka sendiri) :
Sesungguhnya Alhafiz Ibn Katsir menyebutkan dalam Albidayah Wannihayah (J 11/MS 172), bahawa Daulah Fatimiyah Al-Ubaidiyyah (yang disandarkan kepada Ubaidillah bin Maymun Alyahudi), yang memerintah Mesir dari tahun 357 hingga 567 Hijriah, telah mencipta sambutan-sambutan yang pelbagai pada hari-hari yang tertentu, antaranya ialah sambutan Maulid Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam.
Beginilah yang mereka naqalkan dari Alhafiz Ibn Katsir. Dan apabila kita merujuk kepada apa yang mereka sebutkan, kita katakan kepada mereka : Wallahi, Kamu semua telah berdusta!!! Sesungguhnya kami dapati daripada apa yang kamu dakwa daripada Alhafiz merupakan satu dustaan, tipu daya, pemalsuan dan khianat dalam mengambil kata-kata ulamak.
Nah, bagaimanakah kita boleh mempercayai dan berasa aman dengan mereka yang sanggup berbuat demikian kepada ulamak? Mereka amat taksub dan mengikut hawa nafsu mereka sehingga sanggup berbuat apa sahaja dan enggan bermunaqasyah dengan adil, insaf dan jauh dari hawa nafsu.
Selepas ini: Apakah kata-kata sebenar Alhafiz Ibn Katsir pada sambutan Maulid Nabi ini?
Posted at 05:31 pm by aljoofre