Entry: Hikmah Nafsu Friday, December 14, 2007



"Aku teringin makanan yang sedap. Aku mahu pangkat kedudukan yang tinggi. Aku mahukan suami/isteri yang terbaik. Tapi Ya Allah! Mengapa nafsuku ini sukar sekali diajar agar menjadi mutma'innah? Mengapa sukar sekali untukku ikat syahwatku ini?  Sedangkan telah berulang kali aku diajar untuk menjadi seorang murid yang baik, nafsuku perlu dikekang. Keinginanku perlu cuba disekat. Aku patut menginginkan keredhaan dan maghfirah-Mu semata, Ya Allah!"

Monolog diri di atas pernah diceritakan oleh seorang anak murid kepada ana baru-baru ini. Ana tidak memberi apa-apa komentar kepadanya. Ana rasakan jika benar monolog itu datang dari hati yang tulus ikhlas, ana tidaklah layak untuk memberinya nasihat. Kedudukan hati yang begitu cukup tinggi di sisi Allah. Teringat, kata-kata seorang ahli Sufi, "Jika ku mampu meninggalkan secupak makanan itu lebih ku cintai dari beribadat sepanjang malam."

Namun begitu mengapa keinginan nafsu ini disuburkan di dalam jiwa manusia? Apakah faedahnya? Mengapa diilhamkan Allah kepada kita kebaikan dan keburukan nafsu ini? Sambil berfikir bersendirian, ana menukar saluran TV kepada Saluran Al-Resalah. Terpampang wajah bercahaya Habib Ali Aljufri, dalam racangan kegemaran ana "Hayyun Fi Qulubina".

Subhanallah. Habib Ali sedang menceritakan perihal nafsu dan hikmahnya. Mutiara kata yang terbit dari beliau benar-benar menyejukkan hati ini. Katanya, ada tiga hikmah utama, nafsu disuburkan dalam jiwa manusia.

1) Istimrar (kesinambungan)
2) Isti'nas (kerinduan dan keinginan kepada sesuatu)
3) Ba'is lilhimam (faktor pencetus kepada kekuatan)

Manusia memerlukan makanan untuk kesinambungan nyawanya. Memerlukan perkahwinan untuk kesinambungan spesis manusia.  Usah disalahkan nafsu. Tanpa nafsu, tidak ada manusia yang ingin berkahwin. Manusia juga perlukan nafsu makan faktor penguat untuk berusaha mencari rezeki. Manusia juga memerlukan nafsu perkahwinan  sebagai pencetus untuk berusaha mendapatkannya, dan memperbaiki kedudukan diri. Begitu jualah pada setiap jenis nafsu. Hikmah pertama dan ketiga ini mudah dikecap oleh fikiran yang terbuka dan hati yang beriman.

Namun apa yang ana tertarik adalah pada huraian hikmah kedua, iaitu isti'nas. Habib Ali memberikan contoh, seorang anak kecil yang ditunjukkan gambar sebuah basikal, dan dijanjikan untuknya sebuah basikal oleh si ayah jika belajar bersungguh-sungguh. Tentu sekali si anak tadi, sudah merasa nikmat melihat gambar tersebut, dan sudah bernafsu untuk mendapatkannya. Namun nikmat yang sebenar adalah apabila dia benar-benar mendapatkan basikal itu daripada si ayah.

Begitu jualah kita di dunia ini. Apabila kita bernafsu untuk makan, jadikanlah makanan yang kita nikmati itu mengingatkan dan menguatkan pula keinginan kita untuk mendapatkan makanan yang jauh lebih lazat di Syurga. Anggur yang dimakan, susu yang diminum, takkan sama di dunia dan di akhirat. Setiap biji anggur yang kita nikmati di dunia, cuba kita bayangkan pula nikmat yang jauh lebih besar di Syurga, yang mana nikmatnya tidak ada mata yang mampu menggambarkannya, tidak ada telinga yang mampu mengecapnya dan tidak terlintas di hati manusia di dunia.

Nafsu perkahwinan, di dunia, sewajarnya mengingatkan kita pula akan perkahwinan di akhirat. Tak kira anda berkahwin dengan seorang wanita mahupun berpoligami di dunia sementara ini, jadikan ia penguat untuk mendapatkan Syurga Firdaus. Usahakanlah agar perkahwinan itu mampu menguatkan diri agar merindui akhirat.

Nafsu mendapatkan pangkat dan kedudukan di dunia, patut mengingatkan kita agar merindui kedudukan di sisi Allah di dalam Syurga. Kedudukan yang tiada taranya. Tentu sekali nafsu yang terbaik adalah apabila mengharapkan kedudukan (manzilah) di sisi Allah ketika di dalam dunai ini lagi. Bak, sebuah Hadis Qudsi, apabila kita menyebut nama Allah dalam satu kumpulan, Allah akan menyebut nama kita di dalam perkumpulan yang jauh lebih baik daripada perkumpulan kita itu. Bukankah itu satu kedudukan yang kita ingin kecap di dunia ini? Namun itu semua sepatutnya menyebabkan kita lebih merindui nikmat kedudukan di dalam Syurga. Khususnya, nikmat yang tidak terbanding apabila dianugerahkan Allah melihat kepada-Nya di dalam Syurga nanti. Segala nikmat di dunia ini akan terasa remeh malah tidak berharga, jika kita mendapat nikmat Allah di Syurga-Nya.

Keinginan yang dikecap dengan nikmat mendapat doa yang mustajab pun takkan sama dengan nikmat di syurga. Malahan nikmat beribadat di tengah malam juga (seperti mana kalam para salafussoleh, nikmat beribadat di tengah malam adalah nikmat teragung di dunia ini),  tidak dapat mengalahkan nikmat kedudukan yang tinggi di sisi Allah Ta'ala di Syurga nanti.  Moga setiap nafsu kita di dunia ini dapat menguatkan lagi keinginan kita untuk mendapatkan yang lebih baik lagi di akhirat kelak. Moga Allah memasukkan kita dalam golongan yang mendapat nikmat di atas nikmat di dalam Syurga-Nya nanti. Amiin.

p/s: 1) LIhat Usaha Wakafkan Karya Ulamak . Usaha membantu mengembangkan karya Ulamak Nusantara amatlah dipuji. Moga Allah membantu dan memberkati usaha mereka ini. Sementara itu, doakan usaha kami, dalam projek ta'liq (komentar ringkas) terhadap kitab Bahrul Mazi Syarh Mukhtasar Sohih Tirmidzi, dipermudahkan dan diberkati Allah.


2) Entry tahun lepas. Layalin 'Asyr. Ada disertakan sekali zikir amalan para ulamak terdahulu pada 1-10 Zulhijjah. Terjemahannya pula di sini

3) Maaf buat BAKAN-BAKAN dan DPM yang meminta ana memberi pengisian, tetapi tidak dapat dipersetujui, kerana keadaan kesihatan yang menghalang ana aktif bergerak baru-baru ini. InsyaAllah lepas ni ya! Doakan ana sihat. (kalian yang tidak berada di Mesir, cuba fikirkan apa makna BAKAN dan DPM ni ya? ;-) )

   6 comments

zlaa
December 24, 2007   08:15 PM PST
 
Jazakallah ya Ustaz. Harap ada sambungannya lagi, dan minta Ustaz lebih selalu menulis.
Aljoofre
December 25, 2007   10:13 AM PST
 
Wajazaki khaira.. InsyaAllah. Doakan ya.
Azma
December 27, 2007   11:25 AM PST
 
Best la pasal himah Nafsu ni. Ini kira nafsu dah Mutmainnah boleh convertkan apa sahaja kepada akhirat.
Afni
January 8, 2008   06:55 PM PST
 
Salam wrt wbt

Semoga Allah memberi kekuatan kepada ustaz untuk terus menulis dan menyampaikan ilmu.

Sangat senang dan terkesan dengan entri ustaz kali ini. Musim-musim exam sebegini, nafsu memang patut diarahkan supaya menjadi kemahuan yang kuat untuk cemerlang exam (baru terfikir hikmah yang satu ni).

p.s. sangat rindu dengan kelas ustaz (kifayatul akhyar) pagi-pagi Rabu di rumah pahang. doakan saya berkesempatan lagi ke Mesir.
Aljoofre
January 8, 2008   11:28 PM PST
 
Salam..

Moga apa jua yg dianugerahkan oleh Allah buat kita, dapat kita manfaatkan sebaiknya.

InsyaAllah ana pula bermusafir ke UK 12 Januari ini. Doakan ya.
2012 Michael Kors handbags
September 30, 2012   12:55 PM PDT
 
Even if you are the only one who wants to save your troubled marriage you can do it alone once you know what you need to do. So, relax, take a deep breath and let's get started with some things you can do to get started on saving a troubled marriage.,725052,http://aljoofre.blogdrive.com/archive/147.html

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments