Entry: Syaikh Mustafa Alkhin Tuesday, February 05, 2008



Assyaikh Mustafa bin Saied bin Mahmud Alkhin (Alkhan), Assyafi'i, Almidani, Addimasyqi dibesarkan oleh ibu bapanya di Damsyiq, Siria, di dalam sebuah keluarga yang tenang lagi penuh kemuliaan. Pendidikan rasminya yang pertama adalah di Sekolah Rendah Aljam'iyyatul Gharra' dan kemudiannya di Sekolah Anmuzaj Almidan.

Pada musim panas, 1931 M, Syaikh Muhammad Zarzur, seorang penulis khat yang masyhur, yang juga merupakan guru kepada Syaikh Mustafa, melihat kecerdikan dan kebolehan yang ada pada Syaikh Mustafa. Beliau meminta izin daripada bapa Syaikh Mustafa untuk membawa Syaikh Mustafa ke pengajian Syaikh Hasan Habannakah di Masjid Manjak.

Syaikh Hasan Habbanakah telah mengasaskan sebuah sekolah yang mana, pelajar-pelajar khusus mempelajari ilmu agama pada sesi pagi, dan mereka yang sudah berusia ataupun bekerja menghadiri kelas pada sesi petang.

Syaikh Mustafa asalnya mengikuti pengajian sesi petang. Namun begitu gurunya Syaikh Hasan Khattab berasa kagum dengan kebolehannya, hafalan dan kepandaiannya, maka beliau pun memberitahukan perkara tersebut kepada Syaikh Hasan.

Syaikh Mustafa pun mula mencintai ilmu pengetahuan, dan beliau pun diserapkan kepada sesi pengajian pagi. Satu kegembiraan yang amat bagi Keluarga Alkhin, kerana beliau menjadi ahli keluarga yang pertama yang terbit daripada keluarga ini. Dipakaikanlah Syaikh Mustafa serban bagi menggantikan tarbusnya, dan bapanya pun mengisytiharkan bahawa beliau akan memelihara dan bertanggungjawab terus ke atas Syaikh Mustafa.

Perjalanan Ilmu

Syaikh Mustafa membesarlah sebagai seorang penuntut yang amat rajin di Masjid Manjak. Sebelah pagi beliau sebagai seorang penuntut, di sebelah petang pula sebagai tenaga pengajar. Sesi petang itu pula menjadi cawangan kepada Ma'had Attaujih Al-Islami. Maka Syaikh Mustafa menjadi tenaga pengajar di sekolah tersebut.

Aktiviti sebagai penuntut ilmu, dan dalam masa yang sama sebagai seorang tenaga pengajar memberi kesan yang mendalam kepada peribadi keilmuan Syaikh Mustafa. Syaikh Hasan Habannakah pula sebagai seorang bapa murabbinya, memberikan petunjuk dan kesan yang besar pada tanggungjawabnya dalam keduanya.

Syaikh Hasan juga sering kali menasihatkan para penuntutnya untuk menziarahi para ulamak dan duduk di majlis-majlis pengajian mereka. Syaikh Mustafa amat mengambil berat perkara ini, dan acap kali berusaha menemui para ulamak ini, malah tiga kali bertemu dengan Syaikh Abul Hasan Ali Annadawi.

Syaikh Mustafa mengajar pelbagai bidang dalam ilmu-ilmu Islam, namun akhirnya beliau menumpukan perhatian dan jelas kehebatannya di dalam Usul Feqh dan ilmu Bahasa Arab.

Pada tahun 1949, beliau tiba di Kaherah dengan harapan dapat dinisbahkan dengan Al-Azhar, selain memperolehi ijazah yang membolehkan beliau mengajar di sekolah-sekolah kerajaan di Siria. Beliau pun ditemuduga, dan diterima masuk ke tahun ketiga, Kuliah Syariah. Selepas dua tahun, beliau pun berjaya mendapatkan ijazah dengan keputusan Mumtaz (Kepujian Kelas Pertama / Cemerlang).

Di Al-Azhar, beliau banyak mengambil faedah daripada Dr. Isa Mannun, Dr. Abdullah Musa, Dr Mustafa Abdul Khaliq dan adiknya Dr Abdul Ghani Abdul Khaliq. Beliau juga dapat mempelajari tsaqafah Islam dan manhaj yang jelas lagi tersusun.

Sejurus pulang ke Siria, belia mengajar Pendidikan Islam di sekolah-sekolah menengah di Halab dan Damsyiq, selain sumbangan besarnya di dalam menusun silibus pengajian, menulis buku-buku teks dan menganggitai lajnah peperiksaan. Beliau juga dalam masa yang sama menjadi pensyarah di Kuliah Syariah, Universiti Damsyiq (1955-1962) dan dipinjamkan kepada Kuliah Syariah dan Bahasa Arab, Universiti Islam Al-Imam Muhammad bin Sa'ud, Riyadh (1962-1966).

Apabila Al-Azhar mengeluarkan kenyataan untuk menerima graduan Kuliah Syariah yang berpengalaman mengajar di Universiti selama lebih 5 tahun untuk terus mengemukakan disertasi Ijazah Kedoktoran (PhD), Syaikh Mustafa pun bersegera mendaftarkan disertasi bertajuk Atsarul ikhtilaf fil Qawa'id Al-usuliyyah fi Ikhtilafil Fuqaha' (Kesan Ikhtilaf pada Qaedah-qaedah Usul Feqh pada Iktilaf Fuqaha'), dengan seliaan Prof. Dr. Mustafa Abdul Khaliq. Beliau memperolehi Ijazah Kedoktoran pada tahun 1971 dengan anugerah Assyarfu Al-ula (Cemerlang yang tertinggi).

Beliau seterusnya dilantik sebagai pensyarah dan Ketua Jabatan Aqidah-aqidah dan Agama-agama, Kuliah Syariah, serta pensyarah di Kuliah Pendidikan, Universiti Damsyiq, dan terus di Universiti tersebut sehinggalah tahun 1983. Beliau juga menulis buku-buku teks universiti maka terterbitlah tiga buah buku teks yang amat penting dan masih diajar sehingga ke hari ini di Kuliah Syariah, iaitu kitab Attafsir Al'Am, Feqh Al-Mu'amalat dan Mabadi' Al-aqidah Al-Islamiah.

Setelah bersara, beliau menjadi pensyarah pula Riyadh sehingga tahun 1992. Kerinduannya dan kecintaannya kepada bumi Damsyiq yang amat, beliau pulang dan menjadikan rumahnya sebagai tempat tumpuan para penuntut ilmu.

Pada tahun 1993 beliau bersetuju untuk mengajar di bahagian Pasca-Ijazah Universiti Ummu Darman, di Damsyiq dan Ketua Jabatan Pengkhususan Kuliah Syariah di Ma'hadul Fath Al-Islami.

Beliau juga memiliki sebuah bilik khas di Masjid Daqqaq. Bilik ini menyimpan sejarah yang banyak terutama dari sudut aktiviti-aktiviti ilmiah dan mempunyai sebuah perputakaan yang memiliki banyak kitab-kitab utama.

(Bersambung, InsyaAllah)

   2 comments

malaysia web design
July 2, 2009   06:03 AM PDT
 
BNYAK BETUL HASIL PENULISAN BELIAU
mulberry outlet
May 12, 2012   01:27 PM PDT
 
I thank thee that I am none of the wheels of power but I am one with the living creatures that are crushed by it.,744544,http://aljoofre.blogdrive.com/archive/153.html

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments